KANDUNGAN
ABSTRAK 2
1 PENGENALAN 2
2 VIRUS SECARA UMUM 5
2.1 Asal Usul Virus. 5
2.2 Apa Dia Virus 7
2.2.1 Memasuki Komputer Tanpa Kebenaran Dan Pengetahuan 7
2.2.2 Memasangkan Pada Perisian Lain Atau Sektor But Cakera 7
2.2.3 Merebak Dan Menjangkiti Program 8
2.2.4 Mengancam dan Mengganas 8
2.3 Jenis Virus 9
2.3.1 Virus Sektor But 10
2.3.2 Virus Fail atau Program 10
2.3.3 Macro virus 10
2.3.4 Virus Berbilang Bahagian 10
2.4 Tanda-Tanda Dijangkiti Virus 10
2.5 Kerosakan Yang Dilakukan 11
2.6 Pencegahan Penyebaran Virus Komputer 11
2.6.1 Pencegahan Secara Umum 12
2.6.2 Pencegahan Semasa Menggunakan Email 13
2.6.3 Pencegahan Semasa Chatting 13
2.6.4 Semasa Melayari Internet 13
3 Serangan Virus 14
3.1 Cara Virus Merebak 14
3.2 Kesan Daripada Serangan Virus. 15
3.2.1 Apa Yang Boleh Dilakukan Oleh Virus 16
3.2.2 Apa Yang Virus Tidak Dapat Lakukan 17
4 PERBINCANGAN, ISU DAN CADANGAN 17
4.1 Moral dan Etika 17
4.2 Perlindungan Hakcipta 19
4.3 Masaalah Yang Semakin Serius 19
4.4 Salah Tanggapan Mengenai Virus 22
4.5 Virus Penyakit dan Virus Komputer 22
5 Penutup 23
BIBLIOGRAFI 24
TAJUK: OPERASI KESELAMATAN KOMPUTER DARI ANCAMAN VIRUS
Di sediakan oleh:
CHE ABD. RANI BIN MOHD
81630
MSc(IT)
ABSTRAK
Bidang keselamatan komputer amat luas daripada segi fisikal, perkakasan,
perisian, rangkaian dan juga penyimpanan data. Perbincangan dalam kertaskerja
ini akan difokuskan dari segi keselamatan berkaitan dengan ancaman
virus sahaja. Perbincangan akan berkisar kepada asal usul virus, jenis
virus, langkah keselamatan, apa yang virus lakukan, bagaimana ianya merebak
dan cara untuk mengatasinya dan juga isu-isu mengenai virus. Setelah kita
mengetahui dan mengenali virus maka memudahkan kita membuat persiapan bagi
mengatasinya.
1 PENGENALAN
Virus yang telah dikenal pasti dan telah dianalisa, kadangkala diberikan
nama-nama yang unik, seperti Stoned atau Michelangelo atau ILOVEYOU dan
sebagainya. Virus yang tidak diketahui adalah lebih sukar untuk dikesan
kerana ianya baru dan tidak diketahui sifat-sifatnya oleh pakar-pakar pemusnah
virus. Namun, sesetengah perisian seperti Microsoft MSAV dan MWAV akan
mengesan virus yang diketahui atau yang masih baru dengan memeriksa fail
untuk tanda-tanda tidak normal dalam kodkod tertentu. Dengan cara ini,
virus terbaru akan secara automatik dikesan lalu dimusnahkan sebelum ianya
diklasifikasikan atau diberi nama.
Ramai penggunaan komputer tidak mengambil berat tentang virus. Mereka akan merasai panik dan gelisah apabila telah diserang oleh virus yang menyebabkan kerja terganggu atau data hilang. Kegelisahan meningkat dan berpanjangan apabila data-data yang hilang tidak dibuat pendua atau salinan. Tambahan lagi data yang hilang atau diserang virus itu memakan masa untuk mendapatkan semula atau sukar diperolehi lagi dan dalam keadaan data itu amat perlu dan mustahak. Sesiapa sahaja yang menggunakan komputer tentunya akan mengetahui bahaya jangkitan virus kepada sebuah komputer peribadi moden. Virus komputer sebenarnya adalah satu masalah yang agak baru dalam era teknologi maklumat. Empat belas tahun yang lalu (1985), tidak ada satu virus komputer pun yang ujud walaupun teori kemungkinan keujudannya memang diketahui. Tahun berikutnya (1986) empat virus ditemui. Mulai dari saat itu, masaalah virus membesar bagaikan satu wabak yang ngeri
Pengalaman yang begini barulah menyedarkan mereka yang mengalami betapa perlunya menyediakan perlindungan bagi menghadapi bencana serangan virus. Saya sendiri telah mengalami beberapa kali data diserang virus tetapi tidak begitu serius, cuma sekadar diberitahu atau apabila discan didapati data tersebut atau komputer telah diserang virus, sehinggalah pada suatu hari saya menjadi tertekan apabila program antivirus yang saya gunakan (Pc Cillin) memberi amaran bawa komputer saya mengandungi virus dan ianya tidak dapat dibersihkan. Kesan daripada serangan tersebut semua kerja-kerja untuk download daripada Internet tidak akan dapat dilaksanakan. Proses download hanya akan berjalan separuh jalan dan akan terputus. Bagi mengatasinya saya berhubung sukarelawan melalui program IRC (Internet Relay Chat) melalui saluran “nohack” yang telah memberi saya beberapa panduan serta dengan program antivirus bernama cleaner tetapi juga tidak berjaya dan beberapa cara lain cara yang telah dicadangkan telah mengambil masa saya berkomunikasi dengannya secara online selama 6 jam tetapi masih juga gagal untuk membersihkannya. Saya menjadi semakin gelisah dan bimbang kalau ianya terus menyerang data-data yang tersimpan di dalam komputer itu. Akhirnya saya berjaya dengan pertolongan kawan saya yang arif tentang virus komputer dan berjaya menyelamatkan data-data dalam komputer saya dan seterusnya membersihkannya. Daripada pengalaman ini, saya telah mendapat pengajaran yang berguna iaitu saya mesti mengambil langkah tertentu melindungi komputer saya daripada virus serta senentiasa membuat pendua sekerap yang mungkin.
Sebenarnya untuk menghapuskan virus komputer sebenarnya mudah, di pusat-pusat penjualan perisian komputer terdapat banyak sekali perisian yang dijual dan tidak kurang pula terdapat perisian yang diberikan secara percuma melalui Internet yang mempunyai kekuatan untuk melawan virus yang wujud. Tetapi perlu diingat bahawa apabila diserang risikonyanya ialah data-data yang terlibat akan mengalami kerosakan samaada sepenuhnya, sebahagian atau tidak bergantung keadaan serangan virus berkenaan. Oleh itu mengapa kita harus menunggu untuk membersihkan virus setelah diserang, mengapa tidak menyediakan langkah-langkah pencegahan awal sebelum ianya menyerang. Keselamatan data adalah merupakan salah satu tanggungjawab dalam operasi teknologi maklumat selain daripada perkakasan, rangkaian dan juga perisian. Pengurusan keselamatan melibatkan pengawalan terhadap bukan sahaja maklumat yang sensitif dalam rangkaian tetapi termasuk keselamatan data yang disimpan. Keselamatan bukan hanya bermakna data yang sulit dapat diperolehi atau diketahui oleh mereka yang tidak berhak tetapi kerosakan data juga merupakan aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian.
Mungkin sebahagian daripada mereka yang kurang arif mengenai dengan komputer dan virus kmputer akan terfikir mengapa virus komputer amat dibenci dan harus dibasmi habis? Mungkin mereka terfikir bahawa ianya perlu dibasmikan dengan segera kerana virus itu boleh menular kepada manusia.
Bagi menyediakan langkah keselamatan berkaitan dengan virus komputer
dalam kertas ini akan dibincangkan mengenai dengan jenis-jenis virus, apa
yang virus lakukan, bagaimana ianya merebak dan cara untuk mengatasinya.
Setelah kita mengetahui dan mengenali virus maka memudahkan kita membuat
persiapan bagi mengatasinya.
2 VIRUS SECARA UMUM
2.1 Asal Usul Virus.
Kurang dari 20 tahun yang lalu, tidak ada sebarang virus komputer pun
yang wujud di dunia. Pada lingkungan 1983, program virus pertama
dihasilkan di makmal universiti bagi mendemostrasikan bahaya yang mungkin
diberikan oleh kod komputer sedemikian. Pada tahun 1986 virus PC
yang pertama dikesan, bernama Brain Virus. Setahun kemudian (1987)
beberapa kejadian serangan virus mula dilapurkan diseluruh dunia.
Diantara yang paling terkenal adalah virus Juruselam yang dipercayai berasal
dari Israel. Juruselam juga dipercayai adalah virus penghuni ingatan
(memory resident) yang pertama. Ini bermaksud Juruselam memasangkan
dirinya ke dalam ingatan komputer dan berfungsi sepanjang masa komputer
terpasang. Selain dari Juruselam, virus Stoned, Cascade dan Friday
the 13th juga dikesan kali pertama pada tahun 1987. Pada tahun 1988
sejenis virus baru, iaitu virus antivirus dicipta oleh seorang rakyat Indonesia.
Virus ciptaannya yang bernama Den Zuk akan mengesan dan menghapuskan Brain
Virus. Virus Den Zuk juga melalikan cakera pengguna kepada jangkitan
Brain Virus. Beberapa agensi media antarabangsa mula memberikan liputan
kepada masaalah virus. Kebanyakan penyelidik anti-virus yang terkenal
hari ini memulakan kerjaya mereka pada tahun berkenaan. Pada 1990, program-program
virus menjadi semakin berkuasa dengan penggunaan teknik-teknik canggih
seperti Stealth (kebolehan virus menyembunyikan dirinya atau kerosakkan
yang dilakukannya), Polymorphism (virus yang sentiasa mengubahkan dirinya
semasa merebak), Armoring (digunakan untuk menyekat penyelidik anti-virus
dari membongkarkan kod virus berkenaan) dan Multipartite (virus yang boleh
menjangkiti perisian dan sektor but serentak). Pada tahun 1990 juga
jumlah perisian antivirus yang dikeluarkan mula bertambah dengan pesatnya.
Pada tahun 1992, virus yang mungkin paling “popular” iaitu Michelangelo
muncul. Walaupun tidak mengakibatkan kerosakan yang tinggi, ianya
mendapat liputan yang sangat luas dalam media massa. Kesan langsung
dari ini ialah permintaan untuk perisian antivirus meningkat secara
mendadak. Virus Michelangelo bolehlah dikatakan sebagai “pembuka
mata” kepada kebanyakan orang akan bahaya dan ancaman yang diberikan oleh
virus komputer.
Tahun 1994 melihat virus mula merebak kepada Internet. Namun tidaklah luas dan tidak ada sebarang jangkitan meluas dilapurkan. Pada tahun 1995 apabila Windows 95 dikeluarkan, sejenis virus baru ditemui. Virus ini adalah virus Concept iaitu sejenis virus makro yang menjangkiti fail-fail dokumen perisian Micrsoft Word. Disebabkan oleh dokumen yang dijangkitinya, virus makro adalah jenis virus pertama yang boleh menjangkiti fail-fail dari berbagai sistem operasi dengan serentak. .
Menjelang 1996, virus makro Concept telah menjadi virus yang paling banyak tersebar dalam dunia perkomputeran. Tahun ini juga melihat satu lagi virus makro baru – kali ini yang menjangkiti helaian elektronik perisian Microsot Excel pula.
Tahun-tahun berikutnya melihat jumlah virus yang muncul bertambah dengan mendadak sekali sehinggalah mengakibatkan tercetusnya insiden Melissa dan Chernobyl yang disebutkan di awal rencana.
Di tahun 2000 kita dikejutkan oleh virus ILOVEYOU yang mengakibatkan melebihi 45 juta komputer di seluruh dunia diserang oleh virus berkenaan yang disebarkan melalui e-mail (surat elektronik). Surat-surat elektronik dihantar oleh hacker berasal dari Filipina. Kehebatan virus itu sehingga mampu menyerang komputer-komputer milik badan strategis AS seperti CIA, Departemen Luar Negeri, dan Departemen Pertahanan Keamanan yang selama ini dianggap memiliki sistem pertahanan virus komputer yang canggih. Di Eropah sekitar 100 ribu server dilaporkan hancur akibat serangan virus ini dan kerugian ditafsirkan mencapai mencapai 10 juta dolar AS. Suatu jumlah yang begitu besar hanya dalam tiga hari sejak virus ini muncul.
2.2 Apa Dia Virus
Virus komputer secara umumnya adalah satu gejala yang direkabentuk
dan ditulis bagi merosakkan atau mengubah perjalanan komputer tanpa
pengetahuan kita atau keizinan. .Di dalam istilah teknikal, virus
adalah sebahagian tatasusila program itu menempatkan dirinya ke salah
satu fail eksekutif kita dan merebak dalam sistem daripada satu fail
kepada yang lain. Virus komputer bukan wujud secara spontan tetapi
direka atau dicpta untuk tujuan khusus. Virus biasanya mempunyai dua fungsi
yang berbeza iaitu pertama merebak daripada satu fail kepada yang lain
tanpa input pengetahuan dan input dari kita. Ianya hanya diketahuai apabila
discan atau telah merebak dengan banyaknya. Kedua, melaksanakan gejala
atau rosak seperti yang dirancangkan oleh penciptanya iaitu memadamkan
cakera, menyogok program kita atau membuat kacau terhadap program atau
data dalam komputer kita. Ciri-ciri virus komputer dibahagikan kepada
empat ciri utama sebagaimana berikut:
2.2.1 Memasuki Komputer Tanpa Kebenaran Dan Pengetahuan
Ianya dikatakan sebagai virus apabila sesuatu perisian komputer
itu memasuki komputer tanpa kebenaran dan pengetahuan tuan punya. Pemasangan
program yang diizinkan akan dilakukan melalui “install” atau “setup”.
Pengguna dengan jelas dan sedar akan setiap langkah dalam proses
pemasangan tersebut. Sebaliknya virus memasuki komputer tanpa proses
yang disebutkan tetapii memasuki secara senyap dan tanpa kebenaran. Bukan
setakat itu sahaja, ia turut mengubah kandungan fail–fail dalam komputer
tanpa menanya atau mendapat persetujuan terlebih dahulu.
2.2.2 Memasangkan Pada Perisian Lain Atau Sektor But Cakera
Ciri virus seterusya adalah ia memasangkan dirinya pada perisian lain
atau pada sektor but cakera keras sesuatu komputer. Dalam keadaan pemasangan
perisian biasa, setiap fail perisian baru yang dipasangkan di masukkan
ke dalam direktori yang baru bagi mengasingkannya dari fail–fail perisian
lain. Dengan itu dapat membezakan sesuatu perisian dengan perisian yang
lain. Berbeza dengan kemasuikan virus, ia tidak mencipta sebarang direktori
dengan itu tidak dapat dikesan oleh pengguna. Virus memasangkan dirinya
pada komputer dengan memasukkan kod programnya ke dalam program kegemaran
yang biasa dijalankan pengguna dan tidak meminta sebarang kebenaran untuk
melakukan perubahan pada program asal ini.
2.2.3 Merebak Dan Menjangkiti Program
Ciri seterusnya ialah merebak dalam komputer. Ia berlaku apabila pengguna
menghidup atau menggunakan program berkenaan dengan cara tak langsung telah
sama menghidupkan virus yang sediaada dalam program tersebut. Kemudian
Virus juga akan menyalin dirinya ke dalam sektor but cakera keras seterusnya
akan menghinggapi sistem operasi komputer. Apabila ini berlaku
sistem operasi virus akan dijalankan sebelum sistem operasi sebenarnya
berfungsi. Dengan itu ianya memudahkan merebak kepada keseluruhan
sistem komputer. Ianya juga akan merebak melalui disket-disket yang
digunakan dan melalui penghantaran email ke komputer lain.
2.2.4 Mengancam dan Mengganas
Pengguna tidak perlu risau jika virus itu sekadar merebak dan berada
di dalam komputer dan tidak melakukan apa-apa pindaan atau merosakkan data
atau komponen komputer. Ciri yang paling ditakuti ialah menganas seperti
melepaskan bom, jika ini berlaku ianya adalah merupakan tujuan sebenar
virus itu dicipta. Walaubagaimanapun tidak semua virus mengancam
dan mengganas dan tidak kurang pula yang hanya melakukan ancaman yang kecil
serta tidak memudaratkan seperti membunyikan atau mengeluarkan bunyi melalui
speaker. Perkara yang paling ditakuti ialah apabila ianya memadamkan sektor
but saperti yang dilakukan oleh virus Chernobyl dan virus ILOVEYOU.
2.3 Jenis Virus
Terdapat berbagai jenis virus yang dicipta dan tujuaannya. Sesetengah
virus dicipta untuk bergurau atau untuk tujuan menggangu sahaja. Ada juga
virus yang dicipta boleh mengakibatkan kesan yang lebih serius, seperti
menghilangkan data-data yang disimpan. Virus-virus ini boleh menjangkiti
komputer kita dengan mudah menerusi Internet dan perantara-perantara yang
lain.
Dianggarkan cuma 5% sahaja virus yang tidak mengancam dan mengganas. Ini kemungkinan penciptanya tidak berjaya untuk menjadinya sebagai pengganas atau ianya mempunyai tujuan lain. Dengan itu terdapat virus ”baik’ dan virus “jahat”. Virus “baik” yang direkabentuk tiada membuat kerosakan kepada komputer kita. Virus “jahat” pula adalah virus yang mengakibatkan kerosakan pada komputer kita, walaupun kerosakan mungkin tidak sengaja. Virus jenis ini mungkin mengubah satu atau lebih program kita supaya ia tidak bekerja sebagai yang dikehendaki. Program yang diserang virus mungkin menamatkan aturcara secara tidak normal atau memasukkan maklumat tidak betul ke dalam dokumen kita atau mungkin mengubah maklumat. Ia juga berkemungkinan menyekat kita untuk memulakan program atau program itu tidak mampu untuk mengesan dokumen kami hendak membuka.
Selalunya, virus-virus ini akan menyalin dirinya sehingga boleh merosakkan data-data yang disimpan. Sekiranya komputer telah dijangkiti, apabila kita ingin menyimpan fail di dalam cakera liut,ianya telah "menjangkiti" cakera liut itu dan sesiapa sahaja yang menggunakan cakera liut tadi, akan menjangkiti pula sistem komputer yang lain.
Boleh dikatakan pada setiap ada sahaja virus baru ditulis. Adalah penting untuk kita mengetahui bagaimana sistem komputer kita boleh terdedah kepada virus dan apa yang boleh kita perbuat bagi melindungi sistem komputer kita. Virus komputer terbahagi kepada empat jenis utama, iaitu Virus Sektor But, Virus Fail atau Program, Virus Macro, dan Virus Berbilang Bahagian.
2.3.1 Virus Sektor But
Virus seperti ini biasanya dijangkitkan apabila cakera liut yang
sudah dijangkiti dibiarkan di dalam pemacunya semasa proses but. Virus
tersebut dibaca daripada sektor but cakera liut dan seterusnya ditulis
semula ke dalam "Master Boot Record" di dalam cakera keras. Sektor But
Utama adalah ruangan yang mula-mula sekali dibaca ketika proses but komputer
kita. Setiap kali komputer dihidupkan (but) virus tersebut akan dimuatkan
ke dalam sistem ingatan (memory) komputer kita.
2.3.2 Virus Fail atau Program
Virus Fail atau Program pula adalah cebisan-cebisan kod virus yang
melekatkan diri mereka ke dalam program yang executable (*.exe). Sebaik
sahaja program yang telah dijangkiti dilancarkan, virus tersebut dimuatkan
ke dalam sistem ingatan komputer dan menyalinkan dirinya pula.
2.3.3 Macro virus
Virus jenis ini yang paling kerap i dikesan. Virus ini menjangkiti
fail yang dibuka menggunakan program aplikasi yang menggunakan bahasa macro
seperti Microsoft Word atau Excel. Virus ini menyerupai macro di dalam
fail. Apabila fail tersebut dibuka, virus ini boleh memahami arahan melalui
bahasa macro aplikasi tersebut.
2.3.4 Virus Berbilang Bahagian
Virus jenis ini pula mempunyai perwatakan yang serupa dengan virus
sektor but dan virus fail. Ia boleh bermula dari sektor but dan menjangkiti
program aplikasi atau sebaliknya.
2.4 Tanda-Tanda Dijangkiti Virus
Komputer kita dijangkiti virus jika mempunyai tanda-tanda atau pelakuan
berikut:
· Komputer berhenti berfungsi setelah kita menyalin sebuah fail
ke dalam cakera keras
· Komputer berbunyi dan tergantung (terhenti) dan tidak dapat
menjalankan "boot" semula dengan menekan kekunci Ctrl-Alt-Del
· Cakera keras kehilangan data dan semua isi cakera keras itu
hilang atau terpadam.
2.5 Kerosakan Yang Dilakukan
Kerosakan yang dilakukan oleh virus tiada hadnya kerana ia mampu melakukan
apa sahaja kepada komputer. Virus mampu merosakkan perkara-perkara berikut:
· cakera keras dengan merosakkan rekod boot utama.
· perkakasan seperti monitor, papan kekunci dan tetikus dengan
mengganggu ROM.
· memadamkan fail dari cakera keras.
· merosakkan fail-fail utama dan fail-fail simpanan dalam cakera
keras.
· mengubah aturcara dengan memberikan laluan kepada penceroboh.
2.6 Pencegahan Penyebaran Virus Komputer
Sebagaimana yang kita ketahui bahwa jumlah, jenis dan sifat virus komputer
ini semakin bertambah dan berkembang. Oleh karena itu langkah terbaik untuk
mencegah risiko yang ditimbulkan oleh virus komputer adalah dengan melakukan
kaedah-kaedah pencegahan dan mengamalkan tertib dan disiplin dalam
penggunaan komputer. Kita tidak harus terlalu mempercayai terhadap fail
yang dimiliki oleh orang lain yang dihantarkan kepada kita, walaupun sudah
disahkan bersih dari jangkitan virus. Mencegah dan bersikap berhati-hati
lebih baik daripada kita kehilangan fail-fail yang kita perlukan. Apabila
komputer kita sudah terserang virus dan mempunyai data, samaada di cekera
keras(harddisk) atau pun disket telah diganggu serta telah dihapuskan failnya
kemungkinan data untuk selamatkan adalah tipis dan mungkin tidak mempunyai
harapan sama sekali. Langkah utama untuk mengelakkan daripada perkara ini
terjadi ialh dengan membuat salinan(back-up).
Pada masa ini terdapat perisian antivirus yang cukup popular di antaranya ialah PC Cillin, Innoculator, McAfee, AVP, Dr. Solomon, Norton, dan sebagainya. Dapat perisian tersebut dan dikemaskinikan secara berkala. Berdasarkan pengalaman, sebahagian besar virus yang bersifat merosak atau menghapus fail (.doc, .xls, .exe, dsb.) berasal dari fasilitas e-mail atau chatting. Oleh karena itu berhati-hatilah dalam menggunakan kedua fasilitas tersebut. Sumber lainnya bagi penyebaran virus adalah pemakaian komputer yang berbeza dan berlainan dengan memindahkan data menggunakan disket atau perkongsan direktori pada rangkaian komputer. Bagi mencegah penyebaran virus itu disarankan diambil langkah-langkah berikut:
2.6.1 Pencegahan Secara Umum
Secara umumnya langkah pencegahn boleh diambil sebagimana berikut:
· Lakukan scan secara berkala terhadap komputer kita sekurang-kurangnya
seminggu sekali dengan menggunakan program antivirus yang kita miliki.
· Membuat kerja-kerja kemaskini terhadap fail data
· Jika akan menggunakan fail yang berasal dari disket, scan
disket tersebut terlebih dahulu.
· Jika komputer kita terhubung ke rangkaian komputer dan harddisk
kita berkongsi(share), jangan berkongsi root direktori (C:\) dan batasi
perkongsian tersebut hanya untuk di kalangan pengguna yang dihadkan atau
dipercayai dengan memberikan password pada bahagian yang dikongsi.
· Tidak melakukan pertukaran fail melalui disket.
· Segera membersihkan komputer yang terinfeksi dengan program
antivirus. Jangan mencuba untuk meneruskan operasi pada komputer tersebut.
· Setelah semua komputer yang terinfeksi dapat dibersihkan dari
virus maka pengisolasian dapat dilakukan dan komputer-komputer tersebut
dapat dikembalikan ke fungsi semula.
2.6.2 Pencegahan Semasa Menggunakan Email
Langkah-langkah boleh diambil bagi mencegah jangkitan virus bagi penggunaan
email sebagimana berikut:
· Apabila kita menerima e-mail dengan lampiran, lampiran tersebut
jangan terus dibuka. Simpan dulu lampiran tersebut dan scan terlebih dahulu.
Atau kita dapat mengaktifkan fungsi pada program antivirus untuk melakukan
scan pada e-mail bersama lampiran.
· Jangan sekali-kali membuka lampiran pada e-mail yang berasal
dari orang yang tidak kita kenal atau e-mail yang meragukan kita.
· Apabila tiba-tiba muncul layar dialog yang kita tidak faham
atau kita ragui maksudnya, jangan sekali-kali mengklik tombol 'yes'. Adalah
lebih baik kita mengklik tombol 'no' atau 'cancel'.
2.6.3 Pencegahan Semasa Chatting
Semasa operasi chatting dijalankan ianya juga terdedah kepada ancaman
virus. Bagi menghalang jangkitan virus langkah-langkah berikut perlu diambil:
· Jangan sekali-kali menerima kiriman fail yang kita tidak tahu
pengirimnya pada saat chatting.
· Apabila pada saat kita chatting, muncul dialog yang kita tidak
mengerti atau kita ragukan maksudnya, jangan sekali-kali mengklik tombol
'yes'. Akan lebih baik bagi kita untuk mengklik tombol 'no' atau 'cancel'.
2.6.4 Semasa Melayari Internet
Berdasarkan informasi, ternyata ada beberapa laman di Internet yang
menyebarkan virus komputer. Virus tersebut akan masuk dan menyebar ke dalam
komputer kita pada saat kita mengklik link yang ada pada laman web tersebut.
Ciri-ciri umum dari link dimaksud adalah biasanya link dalam bentuk gambar,
ukuran tidak terlalu besar dan ketampilannya menarik. Dengan itu perlu
diambil langkah berikut bagi menghindarkan jangkitan virus:
· Hindari mengklik link dengan ciri-ciri tersebut, kecuali pada
laman yang dipercayai (trusted laman).
· Apabila tiba-tiba muncul dialog yang kita tidak faham atau
kita ragui maksudnya, jangan sekali-kali mengklik tombol 'yes'. Akan lebih
baik bagi kita untuk mengklik tombol 'no' atau 'cancel'.
3 SERANGAN VIRUS
Virus komputer adalah sebenarnya program komputer yang ditulis untuk
memusnahkan dan mengganggu sistem komputer. Secara ringkasnya ia adalah
sejumlah kod-kod yang dicipta dan ditulis oleh orang yang tidak bertanggungjawab
kemudian dimasukkan pula ke dalam komputer seseorang tanpa pengetahuan
empunya komputer dan ia bergerak atau berfungsi (run) secara tersembunyi.
Virus sebenarnya tidak boleh melakukan semua perkara yang merosakkan,
ianya mempunyai batasan yang tersendiri bergantung kepada jenis, tujuan
virus itu dicipta atau tercipta. Di bawah ini dibincangkan perkara yang
boleh dan tak boleh dilakukan oleh virus.
3.1 Cara Virus Merebak
Ada beberapa cara virus boleh memasuki komputer mangsa tetapi cara
yang paling popular ialah melalui e-mel. Dengan melaksanakn program (execute)
yang dikepil bersama e-mel, virus akan tersebar ke dalam komputer mangsa.
Walaupun komputer yang diguna tidak mempunyai sambungan atau talian internet, mana-mana cekera liut yang digunakan pada komputer tersebut berpotensi untuk menjangkiti cekera keras. Virus komputer kebiasaannya adalah sebahagian dari kod perisian yang berjaya menyusup masuk ke dalam cekera keras atau cekera liut dan memusnah atau merosakkan fail.
Kadangkala ia berlaku secara tidak sengaja, namun ia juga boleh dilakukan
oleh sesiapa sahaja yang berniat buruk. Virus mampu melumpuhkan keseluruhan
sistem atau hanya melakukan 'penyuntingan' yang tidak diundang pada mana-mana
fail yang wujud. Keadaan atau status virus berubah-ubah. Ini bermakna virus
baru akan muncul dari masa ke semasa. Ini menyebabkan perisian anti-virus
juga berubah-ubah mengikut keadaan.
Sesetengah virus komputer adalah tidak merbahaya contohnya ia hanya memaparkan gambar atau mesej atau tidak melakukan apa-apa ke atas komputer dan sistem. Yang lainnya mungkin membawa gangguan kepada komputer sebagai contoh mencetuskan peristiwa (trigger event) seperti memaparkan mesej pada tarikh-tarikh tertentu atau mengubah skrin paparan atau memadamkan fail-fail tersimpan dalam komputer.
Malangnya sesetengah virus dianggap membawa bencana, di mana ia membawa kesan kerosakan seperti melambatkan sistem, merosakkan fail-fail dan data dan memusnahkan sistem.
Namun adalah penting diketahui bahawa sesetengah bahaya virus yang diheboh-hebohkan melalui Internet adalah rekaan semata-mata. Virus tidak boleh mendatangkan kerosakkan fizikal kepada perkakasan komputer anda. Virus tidak akan mencairkan CPU, membakar cakera keras atau mengakibatkan monitor meletup.
3.2 Kesan Daripada Serangan Virus.
Kerosakan yang disebabkan oleh virus boleh dikategorikan kedalam enam
kumpulan berdasarkan kepada darjah kerosakan. Kita akan menganggap kerosakan
sebagai sebarang tindakan yang tidak diingini yang dilakukan oleh virus
berkenaan. Kerosakan oleh virus diukur dengan mengambil kira masa
yang diperlukan untuk membetulkan kerosakan tersebut dan mengembalikan
keadaan sistem komputer seperti sediakala. Dalam mengkategorikan
kerosakan, kita tidak mengambil kira kerosakan sampingan yang berlaku akibat
usaha untuk memusnahkan virus berkenaan. Adalah menghairankan berapa
ramai pengguna akan dengan sewenang-wenangnya dan tanpa berfikir panjang
menformatkan cakera keras mereka dalam usaha menghapuskan virus yang disyaki
menjangkiti sistem. Tindakan sedemikian sebenarnya tidak menghapuskan
kebanyakan virus yang merbahaya. Ini kerana virus masih boleh menduduki
sektor but cakera walaupun setelah diformat. Jadi tindakan sedemikian
akan hanya menghapuskan data pengguna dan berkemungkinan menyebabkan cakera
tidak boleh diguna lagi.
3.2.1 Apa Yang Boleh Dilakukan Oleh Virus
Beberapa virus diprogramkan secara khususnya untuk merosakkan data
di atas komputer kita dengan program yang menghapuskan fail atau memadamkan
cakera liat secara menyeluruh. Pada masa ini kebanyakan daripada
virus Macintosh dicipta bukan untuk membuat sebarang kerosakan.
Sistem hanya dicemari kerana pepijat (bug) disekitar virus berlaku kesilapan
dalam membuat program. Keadaan ini menyebabkan sistem itu dicemari oleh
virus dan berkemungkinan berlaku sistem berkelakuan tidak menentu secara
tidak sengaja.
Virus adalah perisian komputer dan boleh melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh mana-mana perisian komputer lain dalam PC anda. Kerosakan sebenar yang akan dilakukan oleh virus bergantung kepada bagaimana ianya diprogramkan oleh orang yang menciptanya. Sesetengah virus sengaja dicipta bagi merosakkan fail atau menganggu perjalanan komputer yang lancar. Sementara lain-lain virus tidak banyak berbuat apa-apa kecuali merebak dari sistem ke sistem. Virus sedemikian juga adalah merbahaya kerana mereka merebak lebih pantas dari boleh dikawal. Virus yang menggantungkan fungsi komputer dan menunggu sehingga papan kunci ditekan boleh mendatangkan kerosakan dalam jangka masa akan datang dan sukar dikawal termasuk penciptanya. Ia tidak boleh memberhentikan rebakan virus atau menghalangnya dari melepaskan payloadnya walaupun ia mencuba.
3.2.2 Apa Yang Virus Tidak Dapat Lakukan
Virus komputer tidak menjangkiti dalam keadaan atau perkara berikut:
· Dokumen atau fail yang diletakkan write protected kecuali
dalam keadaan virus word makro yang akan dijangkiti pada dokumen
yang ditulis dalam Word 6.0 atau lebih tinggi.
· Fail atau dokumen yang telah dimampatkan (compressed). Walau
bagaimanapun kemungkinan boleh juga dicemari oleh virus sebelum dimampatkan.
· Virus Macintosh tidak berjangkit kepada perisian komputer
berasaskan Dos dan begitu juga sebaliknya. .
4 PERBINCANGAN, ISU DAN CADANGAN
Sejak akhir-akhir ini kebanyakan syarikat atau organisasi mula mengadakan
dasar bagi menguruskan ancaman virus. Dasar yang ambil diantaranya
ialah mengadakan ujian kepada setiap perisian sebelum digunakan.
Ini bagi memastikan bahawa menyekat ancaman serangan virus.
4.1 Moral dan Etika
Satu persoalan yang tidak terjawab setakat ini ialah kenapa ada orang
yang tergamak hendak menulis virus komputer? Apakah yang diperolehi
oleh mereka? Apakah ada kepuasan ataupun ganjaran wang bagi melakukan
kerja yang berupa jenayah ini? Walaupun ramai yang menganggap bahawa
penulis virus digaji oleh syarikat antivirus bagi memastikan pasaran bagi
produk mereka yang bernilai berjuta juta dollar setahun, tidak terdapat
bukti untuk menyokong dakwaan ini. Kegiatan penulisan virus meningkat
kerana berlaku pertambahan pada jumlah bilangan orang muda yang berpendidikan
dan berpengetahuan dalam selok belok pengaturcaraan komputer. Mereka-mereka
ini menikmati cabaran yang diberikan dalam penghasilan virus komputer namun
adalah sering kurang peka kepada persoalan sosial dan etika yang ditimbulkan
oleh kegiatan mereka itu. Amerika Syarikat, negara yang paling maju
dalam industri IT adalah negara dengan jangkitan virus komputer yang paling
tinggi. Ini diikuti oleh Jerman dan Taiwan. Sejarah telah menunjukkan
bahawa negara yang mempunyai ramai juruprogram komputer yang menganggur
akan menghadapi masaalah penghasilan virus yang tinggi. Ini kerana
mereka ingin menghilangkan rasa bosan dan melupakan masaalah kewangan yang
melanda mereka. Malah kalau dilihat dariapda masalah sosial
yang berkaitan dengan jenayah seperti pembunuhan, mencuri, merompak dan
menyamun adalah datang daripada negara atau kawasan yang mempunyai pengguran
yang tinggi. Trend yang sama juga wujud dalam dunia teknologi maklumat.
Oleh yang demikian dalam memerangi ancaman virus ditumpuan dalam bidang
teknologi seperti menyediakan atau mencipta antivirus bagi bertindakbalas
adalah tidak mencukupi tanpa diselitkan dengan aspek kemanusian iaitu moral
dan etika.
Persoalannya, mengapa virus yang sebegini dicipta? Penulis berpendapat bahawa si pereka virus ini tidak mempunyai moral yang tinggi, dan sudah tentu yang membuatnya tidak mempunyai pendidikan agama yang mantap sejak kecil. Mereka berasa bangga jika ramai yang menjadi mangsa.
Selain dari aspek manusia, pertumbuhan masaalah virus juga disebabkan
oleh teknik penghasilannya yang menjadi semakin mudah. Teknik penghasilan
perisian yang digunakan untuk menghasilkan perisian yang berguna telahpun
diubahsuai untuk menghasilkan virus. Pada tahun 1992, dua jenis perisian
penghasilan virus timbul. Yang pertama digelar Mutation Engine yang
membantu pengguna menghasilkan virus jenis polymorphic. Yang kedua
bergelar Virus Creation Laboratory (Makmal Penghasilan Virus) tiba lengkap
dengan ciri – ciri menu dan panduan elektronik (help) menjadikan penghasilan
virus sesuatu yang boleh dilakukan oleh pengguna komputer yang biasa juga.
Kerosakkan yang disebabkan oleh virus
4.2 Perlindungan Hakcipta
Virus, pada asalnya dicipta untuk menjaga dan memelihara hak cipta
bagi memastikan seseorang pengguna yang menggunakan perisian sesebuah syarikat
tidak menggunakan perisian tersebut secara haram. Melalui kaedah ini, pengguna
yang telah membayar untuk menggunakan sesuatu perisian akan diberikan kod
yang akan mematikan fungsi virus pada sesuatu perisian. Sungguh pun mereka
yang mencipta virus untuk tujuan sebegini mempunyai alasan untuk berbuat
demikian tetapi penulis berpendapat bahawa mereka mempunyai lain-lain alternatif
bagi membendung kegiatan seumpama ini. Ianya boleh dibendungk melalui penguatkuasaan
undang-undang. Cara mereka melakukan juga menghukum mereka yang tidak tidak
melakukan menggunkan perisian secara haram tapi juga boleh dijangkiti dengan
perkongsian dakam menggunakan komputer atau rangkaian.
Kesimpulan yang dapat dibuat untuk mereka yang sebegini ialah mereka tidak mempunyai fikiran yang logik serta tidak dapat pula menyelami realiti kehidupan sehingga sanggup mencemarkan teknologi perkomputeran yang semakin berkembang ini. Individu sepatutnya tidak diberi kemudahan bagi menggunakan teknologi dan disingkirkan terus dari dunia teknologi maklumat.
4.3 Masaalah Yang Semakin Serius
Virus dapat memberikan kesan yang amat peribadi dalam kehidupan pengguna.
Di zaman IT ini hampir semua orang pernah mendengar akan virus komputer
dan cerita-cerita akan kerosakkan yang dilakukannya. Namun amat sedikit
yang memahami apakah itu virus dan bagaimana hendak menandinginya.
Perlu diingat bahawa virus bukan hanya menyerang pengguna-pengguna
barat sahaja, salah faham ini lesap segara genap sebulan selepas serangan
Melissa. Pada tarikh itu (26hb April 1999) berpuluh- puluh ribu pengguna
diseluruh rantau Asia mendapati sistem komputer mereka tidak dapat mengesan
cakera keras utama. Sebabnya? Virus Chernobyl sudah menyerang.
Kerosakkan Chernobyl (atau juga dipanggil CIH) sebenarnya adalah lebih
teruk lagi dari Melissa. CIH memadamkan rekod boot cakera keras yang
menjadikannya tidak boleh berfungsi lagi. Akibatnya segala data dan
perisian pengguna hilang dalam sekelip mata. Berjaya dikesan berasal
dari Taiwan, CIH menyerang lebih 240,000 komputer di Korea Selatan dari
berbagai sektor kerajaan, swasta, organisasi awaw, universiti dan pengguna
rumah. Di China, angka mangsanya dianggarkan ialah 100,000.
Di negara kita sendiri, uruniaga Bursa Saham Kuala Lumpur tergendala beberapa
jam pada hari Isnin itu akibat oleh serangan CIH. Berpuluh ribu pengguna
PC merungut kehilangan data dan perisian mereka. Media tempatan melapurkan
kos kerosakkan sejagat yang disebabkan oleh serangan CIH ialah RM60 billion.
Kos ini melibatkan hanya kehilangan perisian dan dalam banyak hal, pembelian
cakera keras baru. Kos kehilangan data tidak dapat dianggarkan.
Pada awal alaf baru dunia teknologi maklumat sekali lagi dikejutkan dengan serangan virus yang bernama ILOVEYOU. Virus yang disebarkan melalui e-mail (surat elektronik) itu hingga kini sudah menyerang sekitar 45 juta komputer di seluruh dunia.
Menurut para pakar komputer, virus ini jauh lebih ganas daripada virus
sebelumnya, seperti Melissa, ExploreZip, dan Skahappy99. Semua virus itu,
adalah sesuatu yang hidup dan mampu secara automatik dan cepat menggandakan
diri untuk seterusnyamenyerang data-data yang tersimpan di komputer.
Virus ILOVE YOU ini berjaya menyerang sistem komputer di Pejabat Pusat
PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di New York dan melumpuhkan sistem
secara tiba-tiba. Virus ini juga mampu berjangkit di komputer-komputer
milik badan pertahana dan strategik Amerika Syarikat seperti CIA, Kementerian
Luar Negeri, dan Kementerian Pertahanan yang mana selama ini, tempat-tempat
tersebut dianggap memiliki sistem pertahanan virus komputer yang canggih.
Sistem komputer perbankan juga tak luput dari sasaran virus ini. Di Eropah,
sekitar 100 ribu server dilaporkan hancur akibat serangan virus ini. Dengan
demikian mengambarkan kepada kita bahawa tiada sistem yang menjamin dapat
kekebalan dariapda serangan virus.
Pengajaran yang pedih.
Bagi beratus ribu orang diseluruh dunia, Melissa dan Chernobyl merupakan
satu pengajaran yang amat pedih berkenaan bahaya serangan virus. Namun
bahaya virus amat kurang difahami oleh pengguna biasa.
Walaupun berpuluh ribu virus dapat dikesan keujudannya, namun menurut
satu kajian pasukan anti-virus dari IBM (IBM’s High Computing Laboratory),
hampir 70% dari semua serangan virus disebabkan oleh hanya 20% dari virus
yang ujud. Baki 80% virus belum berjaya merebak dengan luas untuk
memberikan kesan yang luas. Namun jika dilihat dari prespektif Melissa
dan Chernobyl, angka ini amat merunsingkan.
Kekuatan Melissa terletak pada kebolehannya membantu dirinya sendiri
dalam rebakan. Melissa tidak merosakkan perkakasan komputer. Chernobyl
sebaliknya tidak merebak sepantas Melissa namun “sengatnya” adalah jauh
lebih berbisa dari Melissa. Fikirkan sesuatu: Apa akan berlaku jika
satu virus ditulis yang mempunyai kebolehan rebakan seperti Melissa dan
“bisa” seperti Chernobyl? Disebabkan inilah ramai pemerhati mengatakan
bahawa ancaman virus sebenar "baru sahaja bermula”.
Walaupun dengan kenyataan sedemikian, ramai yang akan memikirkan bahawa
virus komputer tidak mungkin akan menyerang mereka. Berbagai kajian
yang dilakukan oleh agensi – agensi kaji selidik barat menunjukkan bahawa
setiap tahun antara 50% hingga 70% dari pengguna akan diserang oleh virus
komputer. Ini adalah nilai negara barat – tempat di mana kesedaran
akan bahaya virus adalah lebih tinggi. Malah dalam serangan virus
Melissa, banyak jabatan kerajaan Amerika juga tidak terkecuali menerima
padahnya. Bagaimana pula dengan kita?
Adakah kita di Malaysia ini lebih sedia dan berpengetahuan menandingi bahaya virus? Virus komputer telah dianggarkan mengakibatkan kerugian sebanyak US$2 billion sejak 1990. Namun angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi dari itu. Dalam satu serangan yang biasa di sektor korporat, sebanyak 1000 PC pengguna harus diperiksa. Dan oleh kerana setiap pengguna mungkin mempunyai sehingga 35 disket komputer, maka 35,000 disket harus diperiksa untuk kehadiran virus. Menurut kajian yang dijalankan pada Februari 1999 oleh International Computer Security Assurance (ICSA), secara purata, serangan virus mengakibatkan pengkhidmat komputer terpaksa diberhentikan selama sehari. Kos baik pulih serangan virus pula dilapurkan sehingga US$5000 dan mungkin mengambil sehingga lima hari. Kesemua ini adalah angka dari sektor korporat Amerika Syarikat yang melindungi 90% dari pengguna dan pengkhidmatnya dengan perisian anti-virus terkenal dan terkini. Bagaimana pula dengan kita yang jarang sekali menggunakan sebarang perlindungan terhadap virus?
4.4 Salah Tanggapan Mengenai Virus
Terdapat salah anggaapan mengenai dengan virus komputer. Masih
banyak lagi pengguna komputer yang mengganggap bahawa virus komputer adalah
sejenis kuman hidup yang menghinggapi mesin-mesin komputer dan merosakan
komponen di dalamnya. Ada juga beranggapan bahawa virus komputer
boleh merebak kepada manusia. Walaupun anggpan sebegini adalah sesuatu
yang boleh diketawakan, hakikatnya memberi gambaran kepada kita bahawa
masih ramai lagi yang belum faham mengenai dengan virus komputer, apatah
lagi untuk mencegahnya dan menghapuskan samasekali.
4.5 Virus Penyakit dan Virus Komputer
Beberapa tanggapan mengenai dengan penciptaan virus komputer yang antaranya
dikaitan dengan masalah perniagaan, dicipta untuk mengautkan keuntungan
daripada jual antivirus. Pencipta virus komputer dijejak secara besar-besaran
dan apabila ditemui dihadapkan kemuka pengadilan. Bagaimana pula dengan
virus penyakit (kuman) yang merebak? Adakan juga ianya terkecuali daripada
dicipta oleh mereka bagi mengaut keuntungan bagi jualan atau ciptaan vaksin
bagi mengubat penyakit berkenaan? Ini satu persoalan yang perlu kita bincang
bersama dan mengambil iktibar. Jika ini berlaku mereka yang berbuat demikian
perlu dibawa kemuka pengadilan. Di Malaysia, telah ada penguatkuasaan
dan mengambil tindakan terhadap pembiakan nyamuk yang membawa merebak penyakit
demam denggi. Adakah di masa akan dapat terdapat bukti ada pakar yang mencipta
virus penyakit bagi tujuan perniagaan sebagaimana terciptanya virus
komputer.
5 PENUTUP
Jelas bahawa virus adalah satu musuh bagi semua pengguna komputer.
Untuk mengalahkan musuh ini dua perkara penting perlu dilakukan.
Pertama adalah perubahan pada sikap. Kita tidak boleh menganggap
yang musuh kita ini kecil. Kita tidak boleh mengambil mudah tentangan
kewujudannya. Kita perlu punya semacam “hormat” padanya dan pada
apa yang boleh lakukan olehnya terhadap kita. Kedua ialah untuk mengalahkan
sebarang musuh, kita perlu memahaminya terlebih dahulu. Kita perlu
memahami asal-usulnya, gerak-gerinya atau modus operandi-nya dan tidak
kurang pula kelemahan-kelemahannya. Barulah peluang untuk menandinginya
dan menjauhkan dari ancaman bahayanya dapat dilakukan dengan jaya dan berkesan.
Jelas kepada kita bahawa ianya tidak dapat dipastikan bahawa mereka yang menjalankan langkah-langkah keselamatan itu mendapat kekebalan daripada serangan virus. Sungguhpun begitu ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengadakan operasi keselamatan daripada ancaman virus. Sesungguhnya mencegah lebih baik daripada mengubatinya
BIBLIOGRAFI
Fred B. Cohen,"A Short Course on Computer Viruses", ASP Press, 1990
http://www.symantec.avcenter/index.html
http://www.mcafee.com/index.html
http://ybm73.tripod.com/history/virus.htm
Lance J. Hoffman, "Rogue Programs: Viruses, Worms and Trojan Horses," Van Nostrand Reinhold, 1990.
Peter J. Denning ,"Computers Under Attack: Intruders, Worms and Viruses"
ACM Press/Addison-Wesley, 1990.
KEMBALI
KE:
Laman
Utama
Latarbelakang
Negeri
Ku Terengganu
Renungan
Artikel
IT