oleh: CARM
1 PENGENALAN
1.1 Sistem Analisis Dan Rekabentuk Metodologi Berstruktur (Structured
System Analysis and Design Method (SSADM) adalah salah satu contoh metodologi
pembangunan sistem yang berstruktur selain daripada beberapa metodologi
saperti Yourdon dan Structured Analysis Design dan Implemention of Information
System(STRADIS). Ianya dilahirkan melalui projek bersama diantara Learmonth
dan Burchett Management Systems (LBMS) dengan Central Computer and Telecommunication
Agency(CCTA) -(Ed.Downs,1988).
2 DEFINISI
2.1 SSADM adalah merupakan satu metodologi sistem analisis dan rekabentuk yang mempunyai struktur yang terperinci. Berbentuk preskriptif, di mana membahagikan projek kepada fasa-fasa. Setiap fasa pula dibahagikan kepada langkah-langkah yang mengandungi senarai lengkap tugasan atau kerja,input dan output. Setiap fasa mestilah terlebih dahulu diselesaikan sebelum fasa seterusnya dimulakan.
2.2 Mengikut Ed.Down,(1988, Mukasurat 2) SSADM dibahagikan kepada tiga
fasa iaitu fasa kajian kemungkinan,analisis dan rekabentuk. Sementara
Hawryszjiewycz (1991) membahagikan SSADM kepada tiga fasa utama juga dengan
fasa-fasa berkenaan dibahagikan kepada lapan peringkat. Terdapat perbezaan
dari segi jumlah fasa dan peringkat tetapi asasnya sama melibatkan proses
kajian kemungkinan, analisis dan rekabentuk. Oleh itu SSADM, merupakan
satu sistem himpunan analisis perkakasan, himpunan rekabentuk perkakasan,mempunyai
sistem komunikasi,piawaian rangka kerja dan melaksanakan secara logik.
3 FASA-FASA DALAM SSADM
3.1 Fasa pertama adalah merupakan analisis kemungkinan. Kajian kemungkinan dijalankan bagi mendefinisikan masalah dan pengenalan kepada projek berkaitan. Dengan membuat analisis terhadap permasalahan sistem semasa akan menghasilkan atau membentuk model-model sistem semasa. Fasa ini juga mengenalpasti masalah dan akan diselesaikan oleh projek yang akan dilaksanakan nanti.
3.2 Fasa kedua adalah melibatkan analisis spesifikasi kepada keperluan sistem dan pemilihan teknik atau perkhidmatan yang diperlukan bagi sistem baru. Di fasa ini dapat diperolehi input kepada pengenalan masalah serta perkara yang perlu diberi penekanan dan dikajiselidik.
3.3 Fasa ketiga pula adalah merupakan fasa yang melibatkan rekabentuk data,proses dan fisikal. Bagi fasa ini rekabentuk yang dibuat adalah berupa logik,spesifik dan secara fisikal.
Hawryszjiewycz (1991) membahagikan fasa dan langkah sebagaimana berikut:
FASA PERINGKAT
PERTAMA Definisi MasalahPengenalan Projek
KEDUA Analisis Sistem Semasa dan PermasalahanSpesifikasi KeperluanPemilihan/Penawaran
Teknikal
KETIGA Rekabentuk DataRekabentuk ProsesRekabentuk Fisikal
4 CIRI DAN SIFAT SSDAM
4.1 SSADAM mempunyai ciri dan sifatnya yang tersendiri. Di sini akan
dibincangkan sebahagian daripada ciri-ciri utama saperti dari sudut objektif,
permasalahan, keperluan, panduan dan peraturan kerja sahaja.
4.1.1 Objektif
Objektif yang ditetapkan adalah konsisten, jelas dan realistik
4.1.2 Permasalahan
Permasalah dapat dikenalpasti,tersusun dan tepat
4.1.3 Perhubungan/Komunikasi
Komunikasi yang wujud adalah berkesan dan boleh dipercayai
4.1.4 Keperluan
Keperluan kepada bahan saperti data adalah konsisten dan yang perlu
digunapakai.
4.1.5 Garisan Panduan dan Peraturan Kerja
Garisan panduan dan peratuaran kerja disertakan secara terperinci
dan berstruktur.
5 KEGUNAAN DAN SIAPA YANG TERLIBAT MENGGUNAAN SSADM
5.1 SSDAM adalah digunakan sebagai garis panduan bagi digunakan untuk mereka yang terlibat dalam merekabentuk sistem maklumat. Golongan atau pasukan yang terlibat dalam setiap projek ialah Pengurus Projek, Juruanalisis Sistem, Pengaturcara dan Urusetia.
5.2 Pengurus Projek bertanggungjawab sepenuhnya mengenai keseluruhan
perjalanan dan pembangunan projek terutama berkaitan dengan fungsi atau
tugas,prestasi dan spesifikasi. Juruanalisis Sistem pula bertanggungjawab
dalam menganalisis dan mengkaji kemungkinan wujudnya masalah berkait dengan
sistem dan pengguna serta mencadangkan sistem baru. Kerja-kerja mengenai
pengaturcara, merekabentuk sistem bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan
dipertnggungjawab kepada pengaturcara komputer. Sementara penyelaras atau
urusetia mengawal dan memastikan pandangan pengguna diambilkira. Di samping
itu juga, pengguna bertanggungjawab bagi menguji setiap langkah dan perjalanan
sistem sebaik sahaja program direka. Mendokumentasikan setiap langkah yang
telibat dalam metodologi dan lain catatan adalah menjadi sebahagian dari
tanggungjawab urusetia.
6 TEKNIK SSADM
Secara amnya terdapat 3 teknik utama yang gunakan dan terlibat dengan
SSADM ialah:
· Permodelan Data Logik
· Permodelan Data Aliran
· Permodelan Entiti
Ketiga-tiga proses di atas adalah bagi mengenalpasti,membuat
permodelan dan mendokumentasi urusan yang berlaku.
6.1 Permodelan Data Logik
6.1.1 Permodelan Data Logik mengandungi struktur data logik dan juga dokumen yang berkaitan bagi mengenalpasti model dan juga data yang diperlukan dalam sistem maklumat bagi sesuatu urusan yang terlibat.
6.1.2 Permodelan ini juga bagi mengenalpasti entiti dan hubungan antara sesuatu entiti yang terlibat dan merekodkan segala data yang diperlukan dalam urusan.
6.2 Permodelan Data Aliran
6.2.1 Teknik Permodelan Data Aliran mengandungi data gabungan gambarajah data aliran yang disokong oleh dokumen berkaitan. Proses ini adalah bagi melihat, mengenalpasti, membuat permodelan dan mendokumentasikan proses bagaimana pengaliran data berlaku dalam sistem.
6.3 Permodelan Entiti
6.3.1 Permodelan ini adalah mengambarkan secara terperinci sesuatu entiti dan juga kejadian yang terlibat. Ianya mengenalpasti,membuat permodelan dan mendokumentasi segala kejadian yang melibatkan sesuatu entiti. Kejadian yang berlaku itu didokumentasikan mengikut turutan.
7 STRUKTUR DAN MODUL-MODUL SSADM
Sebagaimana yang disebut terdahulu 3 fasa yang terlibat akan dipecahkan kepada 5 modul. Daripada 5 modul ini diperincikan kepada beberapa peringkat, langkah dan tugas atau tanggungjawab yang berlaku dalam SSADM. Ianya menerangkan mengapa mustahaknya kerja-kerja analisis dan rekabentuk sistem yang melibatkan perancangan, pemantauan bukan sahaja sistem tetapi lebih kepada prosedur-prosedur yang terlibat.
7.1 Modul 1 - Kajian Kemungkinan
Kajian kemungkinan yang dijalankan adalah satu kajian yang dijalankan
secara menyeluruh yang berkaitan dengan semua urusan atau yang perlu dikenalpasti
samada sistem berkenaan dapat menyokong kehendak urusniaga tersebut.
7.1.1 Peringkat Sifar: Kemungkinan
Dalam modul ini iaitu modul kajian kemungkinan mengandungi satu peringkat
iaitu peringkat kemungkinan dengan merangkumi skop termasuk mendefinisikan
masalah. Di mana pada peringkat ini satu gambarajah aliran data (Data
Flow Diagaram -(DFD)) secara sepintas lalu dihasilkan bersama struktur
data logik(logical Data Structure (LDS)) DFD mengambarkan sistem yang ada.
Sementara LDS berkemungkinan pada peringkat ini mengandungi hubungan yang
masih belum lengkap.
7.2 MODUL 2 - ANALISIS KEPERLUAN
Dalam modul ini terdapat 2 peringkat ialau peringkat 1 analisis keadaan semasa dan peringkat 2 pula ialah pemilihan sistem urusan (business system option).
7.2.1 Peringkat 1 : Kajian Ke atas Persekitaran Semasa
Perkara yang perlu dikenalpasti ialah keperluan serta keadaan urusan semasa yang diambil sebagai model berserta dengan struktur data yang terlibat bagi keperluan sistem baru.. Peringkat ini lebih menekan penghasilan kepada model logik bagi sistem semasa secara terperinci. Dengan itu ianya memerlukan pengumpulan data sebanyak mungkin.
Data-data yang dikumpulkan adalah berkisar dengan aktiviti, perspektif, penggunaan sumber yang berkaitan dengan urusan perjalanan kerja yang terlibat. Melihat bagaimana aktiviti itu dilaksanakan dan juga kekangan yang wujud.
Bagi mendapatkan satu model yang tepat memenuhi kehendak sistem semasa ialah dilaksanakan melalui kaedah menyediakan Pemodelan Data Logik, mendokumentasikan semua keperluan yang dikehendaki dan menyediakan satu prototaip atau model pertama.
7.2.2 Peringkat 2: Sistem Pilihan Urusan
Pada peringkat ini ialah bagi mendapatkan gambaran dan pandangan bagi
menghasilkan satu resolusi mengenai kehendak urusniaga. Langkah-langkah
yang terlibat adalah:
* Definisi sistem pilihan urusan
* Memilih sistem pilihan urusan
* Definisi keperluan
Daripada langkah-langkah yang dibuat di atas akan menghasilkan penemuan atau output lingkungan atau ruang lingkup, kekangan, peluang, kekuatan dan ancaman terhadap sistem yang sedia ada atau yang akan dicadangkan. Disamping itu juga dapat membuat perancangan berkaitan dengan keperluan tenaga kerja, latihan, kos dan asas pemilihan yang dibuat.
7.3 Modul 3 : Keperluan Spesifikasi
7.3.1 Peringkat 3 : Definisi Keperluan
Peringkat ini adalah lanjutan daripada peringkat 2 yang memperincikan mengenalpasti mengenai keperluan sebenar diperlukan secara spesifik. Dalam pada itu jika perlu satu teknik baru dikemukakan bagi memenuhi proses dan struktur data yang ada dan memenuhi kehendaki pengguna.
Peringkat ini juga menyediakan asas bagi membuat keputusan mengenai keperluan sistem baru. Oleh itu analisis difokuskan kepada keperluan sistem akan datang.
7.4 Modul 4 : Sistem Spesifikasi Logik
Sistem Spesifikasi logik terbahagi kepada 2 peringkat iaitu peringkat 4 : Sistem Teknikal Pilihan dan peringkat 5: Rekabentuk Logik
7.4.1 Peringkat 4 : Sistem Teknikal Pilihan
Sistem Teknikal Pilihan adalah peringkat di mana untuk mengenalpasti
bagaimana untuk membuat pemilihan terhadap konfigurasi perkakasan dan perisian,keberkesanan
sistem,pembangunan strategi dan juga kesan kepada organisasi.
Objektif pada peringkat ini ialah bagi memberi ruang kepada juruanalisis sistem menyediakan pelbagai alternatif bagi mengimplimentasikan dan penyelesaian masalah bagi memenuhi kehendak pengguna. Disamping itu juga pengguna dapat memahami dan dapat memilih alternatif yang diberikan berdasarkan kepada keperluan dan kemampuan yang dapat dicapai bersabit dengan kos, masa dan prestasi sistem itu sendiri.
Ianya juga berfungsi untuk memastikan segala fungsi teknikal dapat dilaksanakan dan dapat dijalankan berdasarkan situasi yang ada.
7.4.2 Peringkat 5 : Rekabentuk Logik
Di peringkat ini dikenalpasti bagaimana sistem akan digunakan dan kawalan
bagi semua peringkat operasi maka disarankan supaya dilibatkan pengguna.
Rekabentuk logik adalah bagi melaksanakan ketentuan kehendak pengguna,
proses mengemaskini kerja-kerja, proses pertanyaan atau aduan dan menyusun
rekaan bentuk logik mengikut susunan dan turutan.
7.5 Modul 5 : Rekabentuk Fisikal
Dalam modul 5 terdapat satu peringkat sahaja iaitu peringkat 6 : Rekabentuk
Fisikal
7.5.1 Peringkat 6: Rekabentuk Fisikal
Rekabentuk fisikal yang dilakukan berkaitan dengan sistem
spesifikasi dan teknikal akan digunakan bagi menghasilkan rekabentuk pangkalan
data fisikal dan juga spesifikasi aturcara.
Rekabentuk ini memberi garis panduan bagi melaksanakan sistem secara fisikal. Ianya juga digunakan bagi memenuhi spesifikasi kebanyakan perkakasan dan perisian. Proses ini dilakukan dengan mengubah Model Data logik kepada rekabentuk sistem pengurusan pangkalan data.
Langkah yang terlibat dalam pengubahsuaian ini adalah sebagaimana
berikut:
· Menyediakan rekabentuk fisikal dan wujudkan rekabentuk data
fisikal
· Wujud fungsi bagi setiap komponen
· Memuktamad rekabentuk data fisikal
· Menyediakan spesifikasi fungsi
· Menggabungkan proses data antaramuka
· Cantumkan rekabentuk fisikal.
8 KEBAIKAN SSADM
Sebahagian kebaikan yang terdapat daripada SSADM adalah:
8.1 Memenuhi Kehendak Pengguna
8.1.1 Sistem yang akan dibangunkan memberi ruang kepada penglibatan pengguna dapat memenuhi kehendak pengguna kerana pengguna dilibatkan dalam proses pembangunan. Dengan penglibatan pengguna dalam proses tersebut maka pengguna dapat menyuara atau memberi pendapat mengenai kehendak mereka dan juga dapat memahami masalah yang timbul.
8.1.2 Selain daripada itu pengguna dapat membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan mereka terutama bersabit dengan kos dan masa.
8.2 Mudah Difahami
8.2.1 SSADM adalah satu metodologi yang mementingkan proses mendokumentasi secara terperinci dan spesifik yang memudahkan difahami dan dibuat rujukan. Selain daripada itu penggunaan carta atau gambarajah tidak terlalu teknikal yang memudahkan difahami oleh orang yang bukan dalam bidang teknikal.
8.3 Fleksibel
8.3.1 SSADM boleh digunakan bagi projek yang besar dan juga sesuai bagi projek yang kecil memandangkan ianya tiada bergantung kepada satu teknik sebaliknya menggunakan tiga model sistem saperti Permodelan Data Logik, Permodelan Aliran Data dan Permodelan Entiti. Di mana ketiga-tiga permodelan ini saling menbuat semakan diantara satu sama lain bagi memastikan ketepatan dan kesempurnaan model yang digunakan.
8.3.2 Dalam penggunaan perkakasan dan perisian SSADM tidak menjurus atau mengarahkan menggunakan perkakasan atau perisian yang tertentu kerana dalam perlaksanaannya diasingkan diantara rekabentuk logik dengan pelaksanaan secara fisikal.
8.4 Mengurangkan Risiko
8.4.1 Dengan menggunakan teknik yang berstruktur dalam membuat analisis
dan rekabentuk sistem dapat mengurangkan risiko kegagalan terhadap
projek yang akan dilaksanakan.
8.5 Memudahkan Pengurusan Projek
8.5.1 Memandangkan SSADM dibuat berdasarkan dalam bentuk modular maka memudahkan pengurusan dalam melaksanakan perubahan atau perancangan serta membuat kawalan.
8.6 Kebolehgunaan Dengan Teknik Lain
8.6.1 SSADM dapat digunakan dengan lain-lain teknik terkini di pasaran saperti JAD,RAD dan juga prototyping. Ianya juga boleh digunakan bersama dengan lain-lain tools saperti CASE tool yang dapat menyokong sistem data repositori dalam membuat analisis dan rekabentuk sistem. Ini dapat dilakukan dalam membuat gambarajah data aliran dan hubungan entiti.
9 KELEMAHAN SSADM
Di sebalik kebaikan daripada SSADM terdapat juga kelemahannya. Kelemahan SSADM adalah sebagaiman berikut:
9.1 Tempoh Lama
9.1.1 Penggunaan SSADM dengan melaksanakan atau mengikuti setiap langkah satu demi satu, memerlukan satu jangka masa yang panjang. Sungguhpun tempoh masa yang panjang dapat memberi ruang untuk memenuhi kehendak spesifikasi tetapi tidak memenuhi kehendak urusniaga kerana lambat sistem itu disempurnakan.
9.2 Langkah-Langkah Tidak Dapat Dilaksanakan Serentak
9.2.1 Setiap langkah dalam SSADM perlu disempurnakan terlebih dahulu sebelum langkah seterusnya dilaksanakan. Keadaan ini menyebabkan berlaku pembaziran dalam masa menunggu.
9.3 Bukan Metodologi yang Lengkap
9.3.1 SSADM tidak merupakan metodologi sebenar kerana metodologi sebenar meliputi keseluruhan kitaran hayat pembangunan sistem. Ianya hanya meliputi sehingga peringkat rekabentuk tanpa mengambilkira peringkat pelaksanaan dan juga penyelenggaraan.
10 PENUTUP
SSADM adalah satu alat metodologi yang digunakan bagi membuat analisis dan rekabentuk sistem yang menekankan kepada konsep berstruktur, mendokumentasikan proses dan data. SSADM menggunakan 3 teknik utama iaitu Permodelan Data Logik, Permodelan Data Aliran dan Permodlan Entiti. Pendekatan secara spesifik, bermodul,berperingkat,mempunyai langkah dan tugas yang tersusun. Tujuannya bagi memberi satu keputusan yang terbaik kepada organisasi dalam membuat analisis dan rekabentuk sistem bagi memenuhi kehendak semua pihak.
BAHAN RUJUKAN/BACAAN
1. Ed Downs,1988 Structured Systems Analysis and Design Method Prentice Hall International, UK
2. I.T Hawryszkiewycz,1991 Introduction to Systems Analysis & Design, 2nd Prentice Hall
3. Avison, and Fitzgerald, 1995, Information Systems Development Methodologies, Developments, and Tools, Mc-Graw Hill International, UK
4. http://www.comp.glam.ac.uk/pages/staff/tdhutchings/chapter4/index.htm
..CARM JUN 2000
Laman
Utama
Latarbelakang
Negeri Ku Terengganu
Renungan
Artikel
IT